Tuesday, March 2, 2010

MASALAH PEMBELAJARAN : SEJAUH MANA KITA MEMAHAMINYA

Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mendefinisikan murid yang mengalami Masalah Pembelajaran sebagai murid yang mempunyai masalah kognitif yang dianggap boleh diajar dan boleh mendapat manfaat pendidikan formal. Terdapat pelbagai kategori murid bermasalah pembelajaran seperti Disleksia, Diskalkulia, Autisme, Hiperaktif dan sebagainya.
Kanak-kanak yang mengalamai masalah pembelajaran ini berada di sekeliling kita dan jumlahnya semakin bertambah dengan meningkatnya tahun ke tahun. Terdapat banyak faktor peningkatan kelahiran kanak-kanak ini seperti faktor usia ibu, masalah kesukaran semasa kelahiran, pemakanan, pencemaran alam sekitar mahupun baka. Kanak-kanak ini mungkin jiran kita, sanak saudara, murid-murid mahupun anak sendiri. Persoalannya, sejauh manakah kita mengenali kelompok ini dan bagaimanakah kita dapat membantu mereka menjalani kehidupan harian sebagaimana kanak-kanak normal yang lain? Marilah kita bersama-sama memikirkannya.....

Artikel ini akan menyentuh kategori murid bermasalah pembelajaran untuk mengenali meraka seterusnya memahami nature mereka supaya kita menjadi sebahagian masyarakat yang prihatin dan penyayang selaras dengan visi Wawasan 2020.

Disleksia
Disleksia diterangkan sebagai keadaan di mana seorang murid mengalami masalah membaca yang serius, yang berkait-rapat dengan gangguan urat saraf. Mereka kelihatan normal tetapi kecelaruan pada bahagian otaknya menyebabkan mereka sukar untuk membaca, menulis, mengeja mahupun mengendalikan nombor yang tidak selaras dengan tahap pencapaiannya walaupun telah diajar berkali-kali. Kanak-kanak ini berisiko menghadapi masalah emosi dan tingkahlaku kerana kecewa dengan pencapaian mereka dalam akademik yang tidak selaras dengan umur mereka. Punca disleksia tidak diketahui tetapi faktor genetik, biologi (kesukaran ketika dilahirkan) juga kematangan (lelaki lambat matang dari perempuan) dikatakan menjadi faktor penyumbang kepada disleksia. Antara kaedah pengajaran dan pembelajaran yang disarankan untuk kanak-kanak disleksia adalah melalui pendekatan multisensori; menggabungkan beberapa deria seperti auditori, visual, oral dan kinestetik.

Diskalukulia
Merujuk kepada istilah sastera "Dys" dalam bahasa Greek bermaksud kesukaran. "Calculia" dalam bahasa Latin bermaksud pengiraan. Maka Diskalkulia didefinisikan sebagai masalah pembelajaran spesifik yang mempengaruhi pemerolehan/pembelajaran kemahiran aritmetik. Kanak-kanak Diskalkulia menghadapi masalah dalam memahami konsep nombor yang mudah, kekurangan kefahaman intuisi terhadap nombor dan bermasalah dalam mempelajari fakta nombor dan prosedur-prosedur. Contohnya, mereka tahu 3+5=8, tetapi tidak dapat mentafsirkan bahawa 3+5=8. Walaupun mereka dapat menghasilkan jawapan yang betul, tetapi mereka melakukannya dengan tanpa keyakinan diri.

Autisme
Istilah autisme berasal dari perkataan autos yang bermakna diri sendiri dan isme bermaksud aliran. Kanak-kanak Autisme bermaksud kanak-kanak yang berada di dalam dunianya sendiri. Ia biasanya mula dikesan pada kanak-kanak yang berusia 3 tahun disebabkan oleh kecelaruan neurologikal yang mengganggu fungsi otak. Individu ini biasanya sukar diajak bercakap dan suka menarik tangan orang lain bila meminta sesuatu, mengeluarkan bahasa sendiri yang sukar difahami oleh orang lain dan meniru perbualan ataupun nyanyian tanpa memahami maksudnya. Mereka suka mengulangi percakapan orang lain secara berulang-ulang yang dikenali dengan istilah ekolalia. Kebiasaannya mereka tidak suka bermain dengan orang lain (lebih suka menyendiri dengan menyorok) dan lebih sukakan objek-objek yang berputar seperti kipas angin ataupun kertas yang ditiup angin. Penggunaan Ritalin bertujuan untuk merawat masalah kurang tupuan dan hiperaktif selain vitamin B6 dan Magnesium untuk meningkatkan kesedaran dan tumpuan/perhatian kanak-kanak.

Hiperaktif (Attention Deficit-Hyperactivity Disorder, ADHD)
Istilah hiperaktif merujuk kepada kanak-kanak yang bertingkahlaku terlampau aktif dan mengganggu. Tingkahlaku mereka yang aktif dan sukar diramal memberi gangguan kepada proses pengajaran guru di sekolah mahupun penjagaan harian di rumah. Paling ketara mereka bersikap agresif (contohnya memulakan pergaduhan dan pertengkaran), cuai menyiapkan tugasan, tidak mahu mendengar apabila kita bercakap dengannya selain mengelak membuat tugasan yang memerlukan pengekalan daya mental. Kanak-kanak ADHD memerlukan sokongan dari ibubapa dan guru dalam belajar mengurus perasaan marah dan tekanan. Ganjaran terlebih dahulu sebelum memberi hukuman. Selain itu sikap tegas terhadap murid, memberi maklumbalas impromptu dan bersifat pemaaf boleh membantu mendidik murid ADHD.

Sindrom Down
Merupakan kecelaruan genetik yang menyebabkan kerencatan akal pada kanak-kanak. Ia berpunca dari lebihan kromosom pada pasangan kromosom ke 21 yang juga dikenali sebagai Trisomo 21. Individu ini mempunyai ciri-ciri fizikal yang jelas yang biasa dilihat seperti mata sepet, hidung penyek, bertubuh rendah, lidah yang tebal dan panjang (menyebabkan kesukaran mereka bertutur) dan jari tangan yan pendek (menyebabkan kesukaran memegang pensel dan gunting). Ujian pra natal bertujuan mengesan kecacatan semasa janin yang biasa dijalankan adalah amniocentesis, Chorionic Villus Biopsy (CVB) dan Chorionic Villus Sampling (CVS).

No comments:

Post a Comment